Saturday 28 December 2013

Tanda-tanda Sesi Persekolahan Akan Bermula


          Assalamualaikum dan salam sayang semua. Kalian apa khabar? Bergembiralah jika anda masih sihat dan bertenaga untuk menjalani kehidupan seharian,setidaknya telefon pintar atau Tab atau iPad atau Tablet atau apa kejadahnya telefon besar-besar tu,masih dapat membuang masa anda. Permulaan entri selalunya kurang baik. Baik,adakah anda ni jenis orang yang suka meneliti keadaan disekeliling? Adakah anda perasan yang sesi persekolahan akan bermula tak lama lagi? Ayuh kita lihat tanda-tandanya...

1.Promosi Melampau Pasaraya
Ahah,ini adalah fenomena biasa yang kita boleh lihat setiap kali sesi persekolahan akan bermula. Keadaan ini juga boleh dilihat berlaku pada musim perayaan ataupun akhir tahun. Kadang kadang berlaku jugak sepanjang tahun seperti 'Jualan Cuci Gudang', 'Jualan Penghabisan Stok' ataupun 'Jualan Jalang Jalang'.ehh Definisi melampau di sini ialah,tengah membeli barang barang tu,tanpa sedar akan keluar cecair kekuningan dari telinga anda,adakalanya darah. Puaka si pemilik pasaraya tu pasang lagu kuat kuat boleh melentur gegendang telinga. Proses membeli barangan akan bertukar menjadi sesi menyumpah. Dah kalau nak beli baju tu,nak tanya la pendapat mak ayah kat sebelah, tapi jadi macam orang bisu kena guna bahasa isyarat dah bercakap tak dengar sepatah haram. Pernah sekali aku senyap senyap tarik wayar belakang speaker tu,terus aku blah pergi kedai sebelah dengan muka puas.

2.Semua Pasal Sekolah
Pergi bandar, semua pasaraya dan kedai tiba-tiba jadi macam tempat jual barang sekolah semata-mata. Dari jauh dah nampak alatan dan pakaian sekolah bergantung,masuk dalam lagi la banyak. Perbezaannya yang kat luar barang murah,main longgok je.yang kat dalam barang mahal dan berjenama. Masa aku dulu,membeli kat luar dah bukan orang senang,kasut RM5 sepasang.ikut kau la nak percaya ke tidak. Keadaan seterusnya bila balik rumah buka televisyen,semua iklan pasal sekolah. Kasut,pakaian, alat tulis,cara nak ke sekolah dan iklan pemandu bas yang mempromosikan perkhidmatan menghantar budak budak ke sekolah.ok tipu yang last tu Banyak la iklan berbentuk lagu memuja muja kasut dan pakaian sekolah supaya mereka yang mendengar akan dirasuk dan seterusnya membeli produk mereka. ''Ayuh,kembali ke sekolah,ayuh ! Ayuh,kembali ke New Era,ayuh ! Ke sekolah lagiiii,ke neww eraaa laagiiii...''. Argghhh,aku dirasuk.

3.Bau Kilang Merebak
Keadaan ini hanya akan dialami oleh mereka yang mempunyai deria bau yang baik. Perkara biasa,apabila anda membeli barangan baru,'bau kilang' atau 'bau kedai' masih kuat. Tapi bau ini akan hilang lama kelamaan dan akan digantikan dengan bau tengik ketiak hangit dan bau hanyir berserta hapak yang dihasilkan oleh kaki busuk.mak lampir kau pakai sepasang stokin je seminggu,puii Bagi mereka yang suka menghidu 'bau kedai' ini,mereka berpotensi untuk mengalami ketagihan seperti seorang penghidu gam,tapi jangan bimbang,ia tidak akan merosakkan ginjal anda. Masa hari pertama persekolahan tu,satu kelas atau mungkin satu sekolah akan berbau seperti ini. Pakai lah minyak wangi sebotol pun,namun masih gagal untuk menandingi 'bau kedai' kasut dan pakaian baru ni.nak pitam aku masa hari pertama masuk sekolah tiap tiap tahun. Cara senang untuk kurangkan bau ini,basuh terlebih dahulu pakaian tersebut.

4.Hilang Seri
Well,memang satu kebiasaan bila sekolah,korang nak cuti.bila cuti korang nak sekolah. Memang makhluk yang tak pernah nak bersyukur. Aku akui memang budak budak sekarang akan cepat merasa bosan dan cepat hilang minat kepada sesuatu. Pada permulaan cuti melompat lompat seronok kononnya,dah masuk zuhur hari kedua cuti,mula rasa rindu kawan-kawan dan cikgu-cikgu.tapi kalau cikgu jenis tak tahu cara nak bergurau dan hanya tahu beri kerja sekolah sahaja,anda mungkin hilang ingatan tentang dia sepanjang cuti tu. Perasaan rindu itu tidak bertahan lama,esok lusa nak buka sekolah,satu perasaan depresi akan menyerang diri.bagi sesetengah orang la,lain la aku ni teruja nak bersekolah. Kelihatan mimik muka yang tidak bersemangat di wajah mereka.dah memang pemalas nak sekolah,tak payah komen lebih lebih. Lebih ketara,anda boleh membaca status yang mintak simpati tapi sebenarnya mintak kena kutuk di fesbuk ataupun twitter.

5.Mak Ayah
Sesungguhnya,insan yang penting dalam memainkan peranan ketika ingin bermulanya sesi persekolahan ialah kedua ibu bapa. Budak budak tak payah berlagak la,korang kena mengaku yang duit mak bapak la yang korang guna untuk membeli kasut seluar baju sekolah tu.dan jangan nak berlagak lagi kalau beli seluar dalam pun guna duit mak ayah. Tapi adalah sorang dua yang beli guna duit sendiri,samada jenis taknak menyusahkan mak ayah atau jenis berlagak sombong macam haram konon nak hidup dengan duit sendiri lepas tu cerita satu sekolah beli semua tu guna duit dia sendiri.kalau jumpa,kapak. Sekolah akan bermula pada awal tahun dan mak ayah akan menggunakan wang gaji mereka pada bulan sebelumnya untuk membeli keperluan sekolah korang. Seperti anak-anak,mak ayah juga boleh diserang kemurungan apabila melihat baki duit mereka,barang dapur tak tambah lagi tu. Banyak woi duit yang kena spend nak beli keperluan tambah lagi dengan yuran sekolah. Aku adik beradik ramai,masa nak sekolah dulu nampak sangat keadaan ni.

         Jadi korang macam mana? Dah bersedia nak pergi sekolah? Bukan sahaja keperluan,anda juga harus bersedia dari segi fizikal dan mental. Yela,kalau tak kuat yang tu,macam mana nak menghadapi bila cikgu melonggokkan anda dengan kerja rumah. Satu subjek 2 kerja,dah kalau 9 subjek? Kalau tak bersedia,anda mungkin akan sawan atau lumpuh sebelah otak. Yang taknak pergi sekolah sebab takut terjumpa ex tu,pergi mampus,tak payah sekolah. Ok,aku mendoakan anda semua semoga berjaya dan sukses sentiasa serta dikenali ramai di sekolah kerana cemerlang dalam pelajaran, bukan sebab ceroboh asrama perempuan.



Semoga berjaya dan  selamat kembali ke sekolah.....!


      

Tuesday 24 December 2013

Timbul selepas Tenggelam

          Assalamualaikum, salam sejahtera, salam hormat dan salam kasih dari saya. Apa khabar anda semua? Semoga sihat dan waras sentiasa la hendaknya. Bersyukur la kita masih berpeluang untuk menyedut nafas percuma yang diberikan oleh yang Esa. Sabar dulu,jangan tutup lagi entri ni.walaupun permulaan entri ni seperti anda sedang membaca blog penceramah bebas,tetapi anda sebenarnya masih bersama Joker Malaya yang tip top. Memang berdosa aku puji diri sendiri. Well,aku bukan kata yang korang tak baca blog penceramah bebas yang mengajak kita ke arah yang lebih baik,tapi.......alah,kau pun tahu kan diri kau sendiri.

          Seperti mana tajuk entri kali ni,ini merupakan kemunculan pertama aku untuk tahun ni walaupun seminggu lagi dah nak masuk tahun baru. Cukup setahun seminggu dari entri yang terakhir.bapak lama.. Jujur aku mengaku,memang aku sibuk tahap hiperbola (perkataan Komsas masa SPM dulu). Kehidupan seorang pelajar dan seorang pencinta wanita ni memang sukar. Kat kolej tu aku jadi macam buruh takde masa nak rehat walaupun sebenarnya banyak masa aku tidur. Tapi masa aku tidur tu otak aku tengah susun memori perkara-perkara yang aku dah belajar.korang tahu apa.. Kisah aku di kolej akan aku ceritakan pada masa akan datang.


Panglima Tentera sambut aku balik. Laptop bawak,tapi tak sempat jugak update blog.

          Ramai mak ayah hubungi aku,bagi tahu anak perempuan diaorang meracau-racau macam orang gila sambil cakar-cakar tangan. Walaupun mak ayah diorang tak bagitahu punca berlaku sedemikian,tapi aku tahu sebab mereka rindukan hasil nukilan Joker Malaya ni.ok aku tampar diri sendiri sekarang sebab perasan..

          Untuk menulis blog yang bernas dan dipenuhi fakta yang ohsem macam blog aku ni kalau korang rasa macam tu la, sangat memerlukan masa. Ia tidak boleh dipaksa-paksa,macam cinta. Maaf,lari tajuk. Korang tidak akan dapat menulis dengan baik ketika kepala kosong,dan tidak jugak ketika kepala tengah penuh,sebab nanti kau nak tunjuk semua perkara kau pandai. Definisi 'penuh' sebentar tadi bukan keadaan seseorang yang baru ambik dadah.

          Ketika nak menulis sesuatu entri tu pulak,kita kena fikir apa hal yang bakal diumpatkan. Takut takut termasuk hal berkait politik,kaum termasuk la agama. Lain la kalau korang admin blog atau laman web politik yang tak habis habis mengutuk sana sini,hina sama sendiri padahal sama agama sama kaum. Kau salah,aku betul,kau sesat,aku pelat tapi bisa bicara seperti kamu,lidah ku panjang berpintal-pintal. Saja aku letak lirik lagu Salam Muzik,nak tengok korang perasan ke tak.kihkihkih

          Aku akui untuk menjadi seorang penulis tegar blog ini memerlukan satu komitmen yang penuh dan jitu. Kadang kadang ia bergantung atas keadaan. Yela,aku memang bawak laptop pergi belajar,tapi dah coverage internet tak sampai kat bilik,apa aku boleh buat. Takkan la aku nak usung laptop turun kat kafe semata-mata nak update blog. Kena kutuk kat kawan-kawan,esaimen bertambun taknak pulak diusahakan nya.

          Tidak aku nafikan menyepikan diri dan tiba-tiba membuat kemunculan gilang gemilang boleh membuatkan peminat peminat kembali diserang histeria,tapi kita juga berisiko untuk dilupakan ketika kita menyepi untuk masa yang agak lama tersebut. Wei wei,rilek ar,jangan sedih nak menangis bagai. Aku kan Joker Malaya,orang lupakan aku,huru hara hidup dia. Saja aku ugut.

          Mungkin setakat ini dulu entri kemunculan gilang gemilang aku kali ni. Korang jangan lah merajuk kata aku akan senyap pulak,doa doa la suruh aku menulis lagi,makbul doa tu nanti. Kalau ada idea,kongsi kongsi dengan aku,mana tahu aku boleh putar belit jadi gempak,silap silap boleh buat cerita drama cinta petang petang kat TV3. Korang kan gila glamour,aku tak.

Selamat berehat dan gunakan masa dengan melakukan perkara yang bermanfaat !

       

Wednesday 19 December 2012

Berita yang gembira didengari.



           Assalamualaikum dan selamat petang. Apa khabar semua? Pasti sihat hendaknya disamping keluarga tercinta. Yang duk lepak kat panggung wayang atau pusat beli-belah tapi dia tak membeli sampai lupa nak sembahyang zuhur,diaorang bukan takde keluarga,tapi diaorang takde kehidupan dan takde tujuan hidup. Seeloknya ketika kecik dulu si emak patut mengaulkan nasi sekali dengan racun tikus untuk diaorang makan.

menang loteri? haha. boleh beli DSLR nanti.


            Ok nampak permulaan dan macam panjang walaupun mengutuk sesetengah spesies,kita beralih kepada tajuk entri kali ni. Aku bukan nak cerita pasal aku keluar makan dengan Wawa Zainal semalam,tapi aku akan ceritakan beberapa contoh berita yang semua orang akan gembira jika mendengarnya. Contohnya anak jiran aku semalam meracau kegembiraan sebab kucing dia beranak dapat 5ekor anak. Semestinya yang bertanggunggjawab membutingkan kucing betina itu ialah seekor kucing. Pasti anda pernah mendapat berita gembira bukan? Mari kita baca bersama....

1.Keputusan Cemerlang
Sememangnya semua orang akan gembira dan sesetengah ada yang berbuih mulut kerana diserang sawan gembira sebab dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah mahupun di universiti atau keputusan cemerlang di tempat kerja. Kalau korang buat tinjaun rambang di sekolah berhampiran ketika keputusan peperiksaan diumumkan,pasti korang boleh lihat ramai yang berlari cari mak ayah lepas dapat result gempak. Tak kurang juga pelajar perempuan yang berlari ke tandas lepas rasa mual nak muntah.eh Ok,aku taknak buat andaian sendiri. Mungkin ada juga yang berjalan macam The Rock nak masuk gelanggang gusti depan ex diaorang sebab nak suruh ex menyesal tinggalkan dia dulu. Kalau di universiti,mendapat keputusan cemerlang tak menjanjikan seseorang itu akan terus sujud syukur atau menelefon mak ayah di kampung supaya terus meminang gadis pilihan.mungkin mereka akan menghadiri pesta buih di malam hari dan meneguk beberapa jenis minuman beralkohol sebagai meraikan kejayaan. Ok,ini semua akibat tak hafal ayat hafazan PAFA.

2.Naik Pangkat
Kebanyakkan misi seorang pekerja adalah untuk mendaki heiraki pangkat di tempat kerja mereka.gila ayat aku macam tulis pasal Hitler. Jika mereka hanya seorang 'office boy' atau tukang bancuh kopi untuk bos,mana mungkin janji untuk membawa pulang kereta BMW ke kampung tercapai. Jadi mereka akan bekerja bersungguh-sungguh untuk dinaikan pangkat lepas tu berlagak depan rakan sekerja. Tapi ada yang jenis tak pernah lupa mandi wajib dan solat subuh tak pernah tinggal akan sujud syukur,lepas tu cium tangan bos lepas dapat berita di naikkan pangkat. Sekurang-kurangnya belanja kawan-kawan yang rapat, sarapan pagi mee goreng telur mata.perghh Jika yang sudah berumah tangga,permaisuri di rumah tidak dilupakan. Setidaknya mereka membawa pulang set barang kemas baru atau set memasak 3 dalam 1 yang letak ikan dalam periuk,keluar keluar dah jadi ikan 3 rasa. Mana tak sayangnya isteri kat rumah.

3.Dapat Hadiah
Sebagai seorang manusia normal,hormon kegembiraan akan merembes sekiranya seseorang itu mendapat hadiah atau pemberiaan,lebih-lebih lagi dari orang yang tersayang. Kalau zaman bercinta dulu-dulu,mendapat surat dari buah hati itu bagaikan mendapat restu menikah dari mak bapak.masuk bilik,kunci pintu,baca surat lepas tu senyum sorang sampai subuh hari ke-7. Jika didalam sampul surat itu diselitkan sekuntum bunga,mahu lepas isyak tu melutut depan ayah mintak nak kawin. Pada zaman ini keadaan tersebut tidak banyak berubah. Kalau nampak van Pos Laju tu,tak sempat posmen berhentikan van,dia dah tolong buka pintu tanya ada tak bungkusan untuk dia. Jika seorang lelaki itu hendak memberikan buah hatinya hadiah,dia akan bertanya kawan-kawan perempuan apakah barangan kesukaan perempuan atau setidaknya bertanyakan Google. Selepas mendapat hadiah tersebut,tidak sampai seminit hadiah tersebut akan ditayangkan oleh si perempuan dalam fesbuk atau sangkar burung biru.harap korang faham. Kemudian simpan hadiah dalam almari lepas tu kunci mangga takut adik masuk ambil.

4.Kelas Batal
A'hah,ini merupakan berita yang paling seronok dan gembira tahap naga bagi pelajar di universiti,kolej mahupun di sekolah. Kalau di sekolah dulu,pagi-pagi mari sekolah mesti lalu depan pejabat dulu,tengok cikgu mana yang tak hadir. Jika cikgu itu seorang yang garang kalau marah budak budak boleh kena cirit birit, dan kerja sekolah yang diberikan beliau semalam masih tak siap,pelajar dalam kelas tersebut merupakan manusia paling gembira pada hari itu. Di universiti,pelajar akan bangun pagi dan terus berdoa agar kelas pada hari tersebut dibatalkan atau anak pensyarah masuk klinik sebab demam. Belum sempat sampai kelas,ketua kelas hantar mesej bagitahu kelas batal. Mereka akan terus sujud syukur berjemaah di tempat kejadian. Bagi budak-budak kelawar yang malam berjaga dan siang tidur,masa tersebut akan digunakan sebaiknya untuk tidur kembali. Bagi pelajar lelaki yang jenis kasanova,perpustakaan dan kafe akan menjadi 'port' utama untuk mengusha awek dan mak cik cleaner.gila keji dia ni.

5.Menang Loteri
Ok,aku sumpah aku tak tikam nombor ekor. Tapi masa kecik-kecik dulu ada la pergi kedai runcit beli kad tikam harga RM0.10 satu,lepas tu menang 'walkman'. Balik rumah sorok 'walkman dalam tempayan taknak bagi bapak tahu.kalau bapak tahu,habis 'walkman' tu dikapaknya. Bagi orang cina dan sesetengah orang melayu yang nak kaya cepat lepas tu lupa rukun Islam,cara terpantas untuk kaya ialah dengan membeli nombor ekor. Lepas tu ramai-ramai pergi rumah tok bomoh atau gosok batu nisan tengok nombor ekor syaitan laknatullah. Bodoh kalau nombor tu betul buat apa tok bomoh tu beri kat kau,baik dia pergi tikam sendiri lepas tu jadi kaya raya. Walaupun dapat jadi kaya dengan cepat,duit tersebut sememangnya haram dan kotor walaupun selepas disental dengan klorox. Dalam kubur nanti kena soal,kau mintak la pulak nombor ekor dengan malaikat yang soal tu,tengok dapat apa.

6.Dapat Cahaya Mata
Selepas berkawin,sebuah pasangan pasti mahu kehidupan mereka dihadiri oleh insan baru yang pasti menjadikan keluarga mereka lebih bahagia macam dalam cerita Vanilla & Coklat. Sumpah aku tak pernah tengok cerita tu. Selepas si isteri disahkan mengandung, si suami lah orang yang paling gembira sebab membuktikan yang mereka tidak mandul. tapi kena periksa lepas tu betul ke anak kau. Gila puaka mulut aku. Kemudian mereka akan membeli pakaian bayi,lampin bayi,buaian bayi dan segala jenis permainan walaupun kandungan tersebut baru 2 minggu. Itu menunjukkan bertapa gembiranya mereka yang bakal menimang cahaya mata. Namun bukan semua orang menjadi gembira selepas mengetahui pasangan  mereka mengandung terutamanya buat pasangan kekasih jahanam yang dah ber'honey moon' tanpa akad nikah. Si lelaki pasti akan gelabah lepas tu tak nak bertanggunggjawab kemudian buat-buat tak kenal.kalau aku dapat sumpah aku sula dengan buluh. Kemudian si perempuan lahirkan anak tersebut sorang-sorang.lepas tu campak dari tingkat 18 sambil berharap anak tersebut dapat jadi penerjun yang berjaya seperti Pandalela Rinong bila besar nanti.

       
           Macam mana kalian? Adakah anda turut gembira jika mengalami situasi di atas? Semoga kita dapat berkongsi berita gembira ini bersama. Mungkin anda dapat menambah sedikit supaya lebih menarik Tapi pastikan ianya ditapis dulu sebab ramai kanak-kanak bawah umur yang ingin membaca. Ok,kita jumpa lagi pada masa akan datang.

Selamat Sejahtera dan salam gembira...

Monday 17 December 2012

Suatu Kepulangan



           Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Aku sangat yakin korang merindui tulisan-tulisan aku.setidak-tidaknya kalau korang masih mengenali diri ini. Alah,mengaku je korang rindukan aku,senang cerita. Mungkin ada dari kalangan anda yang menyangkakan aku tidak akan kembali kerana tersesat dalam 'Lost World' atau bersara dari menulis blog selepas bercinta dengan Selena Gomez. Itu tidak benar sama sekali,kerana aku lelaki sejati yang macam joker ni memang muncul sekali-sekala je,baru orang tak bosan kan? Senang kata rindu tu membuak-buak.hehe

           Mungkin korang menuduh aku hangat-hangat tahi ayam je dalam menulis blog ni,dan ada juga mengganggap aku tidak serius dalam perjuangan melalui penulisan. Hey yuols,aku ni lelaki sejati ok,kata-katanya boleh dipercayai. Gila perasan aku puji diri sendiri. Tapi sekurang-kurangnya jangan la korang samakan aku dengan tahi ayam,keji sangat tu. Aku cuma terlampau sibuk dalam mengejar cita-cita dan cinta,tapi still berusaha memberi kepada pembaca sekalian,buktinya kemunculan entri baru yang tajuknya macam slot Samarinda TV3 ni.

          Sememangnya aku ingin memohon maaf sebab lama sangat menyepi sampai ada yang telah terlupa akan kewujudan diri ini. Kes ni macam sorang ayah yang keluar pergi kerja subuh balik malam.keluar rumah anak masih tidur,balik rumah pun anak dah tidur. Last-last anak tak kenal ayah kandung sendiri,agak tragis di situ. Tapi abang pasti skandal-skandal abang takkan lupakan abang bukan?

           Jadi,dengan cuti yang ada ni aku cuba manfaatkan dengan menulis sambil membaca tulisan sendiri. Eh bagus apa amalan membaca ni? Aku tak nak berjanji takut kalau aku mungkir janji nanti aku jadi orang munafik masuk neraka.jadi aku akan berusaha untuk menge'post' banyak lagi entri pada masa akan datang. Semestinya entri yang berfaedah dan bermaklumat serta berguna untuk dibaca,bukannya entri mengutuk dan mengumpat,tapi mungkin ada sedikit segmen mengkeji dan sentap hati mak nak. Aku harap ibu bapa diluar sana tidak membenci aku.

           Aku tak nak membebel panjang-panjang buat korang bosan,sebab nanti aku pulak yang kena bebel sebab mengadap komputer je,anak-anak lapar siapa nak beri makan woi ! Sekian dulu setakat ni,kita sambung dengan kemunculan akan datang.

Salam sayang dan selamat membaca....


Thursday 22 March 2012

Tabiat Lelaki Di Depan Cermin.

        Assalamualaikum,apa khabar semua? Bagaimana program anda pada hujung minggu kali ini? Pastikan dipenuhi aktiviti berpeluh agar menyihatkan badan,bukannya asyik mengadap laptop sambil meng'upload' gambar-gambar tak senonoh di dinding fesbuk. Nanti dah jadi mangsa keganasan siber maya baru kau nak menyesal. Tapi aku yakin Maya Karim tak ganas macam pontianak,itu hanya lakonan atas kehendak pengarah beliau.



        Merujuk tajuk di atas,pasti sudah ramai yang cuba meneka apakah perbuatan-perbuatan yang biasanya dilakukan oleh orang lelaki di depan cermin. Jangan buat andaian melulu,anda mungkin menyingung perasaan lelaki. Mari kita teliti satu persatu tabiat kaum hensem ni...

1.Menggayakan Rambut.
       
        Menggayakan rambut di hadapan cermin merupakan perkara wajib bagi seorang lelaki. 9 daripada 10 lelaki akan mengayakan rambut mereka secara automatik menggunakan tangan bila ternampak cermin,mungkin seperti dalam iklan shampu yang mendedahkan aurat di kaca televisyen. Rambut merupakan mahkota bagi kaum lelaki dan merupakan 'senjata' utama mereka dalam usaha memikat wanita,walaupun muka masing-masing macam Shrek. Sebab itulah zaman sekolah dulu mereka sanggup lari pecut 100 meter atau mungkin lebih bagi mengelak diri dari cikgu disiplin. Well,mereka takut rambut mereka dipotong. Alasannya,takut makwe mereka meninggalkan mereka. Nonsense bukan ? Tapi itu semua tidak berlaku pada aku kerana aku tidak mempunyai rambut yang lurus untuk digayakan. Walaupun aku akan kelihatan seperti Hafiz AF apabila rambut aku kering,tapi masih ramai perempuan yang cuba mendapatkan cinta suci dari aku. Almaklum la senyuman menggoda.betul bukan? Dan aku tahu pastinya cinta senjati aku tidak akan menilai melalui rambut.*cough

2.Facial Treatment.


        Ketika membuat perbincangan dengan Jemaah Pemuda Masjid di laman sosial  fesbuk,kami bersepakat ramai lelaki yang akan merapatkan muka mereka di hadapan cermin bagi melihat perubahan pada wajah mereka setiap saat.(tapi bukan aku) Untuk makluman,bukan wanita sahaja yang akan fobia apabila mendengar perkataan 'jerawat',sebilangan besar lelaki juga seperti itu. Masakan mereka sanggup berhabis wang membeli pencuci muka Cristano Ronaldo? Ya,mereka amat mementingkan rupa wajah kerana mereka pasti bahagian pertama yang dilihat kaum wanita adalah wajah tampan aku,maksud aku,wajah mereka. Kalau muka penuh dengan lekukan jerawat atau parut sebab terjatuh masa mengintai anak jiarn sebelah basuh kain,saham mereka akan jatuh merudum. Tapi biasala kalau dah tak sedar diri,pergi jugak upload gambar muka mintak pelempang kat fesbuk.tengok,dah mengkeji pada hari yang mulia ni...    

3.Tengok Body.


        Ramai lelaki inginkan badan yang berketak-ketak dan sasa seperti aku sehinggakan mereka sanggup pecahkan tabung duit adik mereka kerana kekurangan wang demi ke gimnasium. Kedengaran kejam bukan? Jangan salahkan kami kaum lelaki,kami tak bersalah,tapi kalau teman wanita kami tak tinggalkan kami sebab badan kami tak seperti Aaron Aziz yang berketak-ketak,pasti kami tak melakukan ini semua. Kepada wanita,janganlah pernah menyoalkan bentuk tubuh badan teman lelaki anda,anda tidak tahu mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian anda. Mereka takut jika badan mereka sasa,ramai perempuan yang akan cuba menggoda mereka. Anda mahu anda diduakan? Jangan gusar kaum lelaki,aku ada petua bagaimana ingin mendapatkn six pack seperti aku. Mungkin suatu hari nanti anda boleh menggerakkan otot-otot tetek anda seperti The Rock dalam WWE tu. Pasti tak tenang bila perempuan melihatnya.

4.Perasaan.


        Sebenarnya aku nak tulis perasan,tapi takut korang tak baca pulak. Simptom bercakap di hadapan cermin bukan berlaku dalam kalangan wanita sahaja,bahkan turut berlaku dalam kalangan kaum lelaki. Kebanyakkan mereka akan cuba menggayakan aksi artis pujaan mereka, contohnya seperti aksi lagak ngeri Aaron Aziz bercengkerama dengan Maya Karin macam dalam cerita Ombak Rindu. Tapi aku tak melakukan perkara sekeji itu kerana aku bersyukur Tuhan telah menganugerahkan wajah aku setampan Farid Kamil.mengaku sajalah yang anda juga lihat rupa aku sebegitu. Ramai juga kaum lelaki mengeluarkan statement-statement sebegini apabila melihat cermin,antaranya, 'eh,muka aku ada iras-iras Bront Palare rupanya'. Setidak-tidak pun,' muka aku dah macam Faiz Nazmi,tapi kenapa awek aku tak suka lagi kat aku?'. Ada juga yang kecewa,'Rosyam Noor,kenapa kau tak amik aku masuk Pilih Kasih?. Atau mungkin ada yang lebih dahsyat jika imaginasi mereka luas kerana asyik didedahkan dengan cerita-cerita kafir Hollywood..

        Bagaimana semua? Adakah anda terhibur dengan fakta yang baru aku kongsikan ini? Aku harap ada yang boleh dijadikan petua berguna dalam kehidupan. Tapi kaum wanita,jangan pula anda cuba mengintai perwatakkan teman lelaki anda apabila di hadapan cermin,mereka mungkin tidak seperti di atas.

Selamat membaca dan selamat berhujung minggu......

Saturday 10 March 2012

Lagu-Lagu Yang Biasa Diengari Bila Putus Cinta.

        Assalamualaikum. Apa khabar semua? Pasti sihat la hendaknya. Macam mana dengan program Le Tour de Langkawi yang singgah di Padang Astaka,Ckuhai minggu lepas? Informer aku bagitahu ramai pemilik fixie yang keluar bawak fixie diorang memenuhi Padang Astaka? Pasti korang berangan boleh mengayuh bersama peserta LTdL bukan? Tak pun korang mencuba nasib dengan membuat aksi mengayuh fixie sambil berharap supaya ada jurulatih dari luar negara akan kagum dan melatih korang untuk dijadikan jaguh dunia? Jika begitu,simpan sajalah angan-angan korang kerana korang takkan berjaya dengan hanya bermodalkan sebuah fixie,pakai sleeveless yang ketat nak arwah dan tight pants yang boleh buat lelaki berbuih mulut bila tengok korang. Ok,aku tengah mengkeji tu..


        Aku yakin ramai yang teruja untuk membaca entri kali ni memandangkan tajuk di atas memang menarik perhatian bukan? Kajian rambang yang dilakukan oleh aku mendapati remaja pernah bercinta sekurang-kurangnya dua kali semasa di sekolah.tapi aku tak la sebab mak bapak antar korang pergi sekolah untuk belajar bukan untuk bercinta.*cough Bagaimana rasanya bila anda putus cinta? Ya,aku yakin cinta sangat memberikan kesan yang mendalam dalam hati masing-masing,lebih-lebih lagi mereka yang pertama kali bercinta. Sebab itulah ramai yang kecewa bila cinta mereka gagal. Pasti ada yang meracau-racau bagai nak gila ataupun ada yang menyepi ditepi tangga sambil mencakar-cakar dinding. Tapi jangan sampai ada yang nak bunuh diri terjun bangunan,tak cium syurga la woi !!


     
        Tapi perkara yang biasa dibuat apabila kecewa akibat putus cinta ialah mendengar lagu. Ayuh kita lihat lagu-lagu tersebut.

1.Lepaskanmu Kerana Terpaksa-Ukays
Sesungguhnya lagu ini amat familiar bagi mat rempit yang putus cinta. Lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan Ukays yang memang terkenal dengan lagu-lagu rock kapak dan biasanya menjadi siulan mat-mat rempit ketika merempit. Jadi tak salah la ketika mereka putus cinta pun,lagu dari kumpulan ini turut menjadi pilihan mereka. Dalam lagu ini,lelaki tersebut sangat sedih dan kecewa kerana terpaksa melepaskan kekasih hatinya. Well,biasa la cinta,tak seindah yang kita sangkakan. Tapi macam mana pun,aku takkan melepaskan Na'di walaupun terpaksa.hehe

2.Di Saat Aku Mencintai Mu-Dadali
Macam mana pulak dengan lagu ni? Lagu ni mendapat carian di Youtube sebanyak 13juta lebih.ok,aku mengaku salah seorang darinya. Sumpah,sedih.nak-nak bila suara perempuan tu masuk. Walaupun lagu ini sudah lama di'upload',tapi masih tak basi-basi.mugkin udah dijampi serapah oleh kiai dari Indonesia kan pak?oh,rasictnya aku. Lagu ini amat popular,sehingga banyak drama melayu yang langsung aku tak paham jalan ceritanya menjadikan lagu ini sebagai lagu tema. Dan ramai perempuan mengguna pakai lagu ini sebagai lagu tema dalam telefon mereka. Alah biasa la perempuan,memang mereka sukakan lagu yang mendayu-dayu begini.lelaki ada jugak ke?hehe

3.Tak Ku Sangka Tak Ku Duga-Saleem
Memang tak sangka kan? Walaupun suara Saleem hanya sesuai untuk nyanyi lagu rock,tapi ternyata dia mampu membuat lagu ini menjadi siulan dan pilihan semasa karaoke bagi mereka yang putus cinta.betul bukan? Lelaki dalam lagu ini tak sangka cintanya yang suci macam pelembut Softlan akhirnya dikhianati oleh perempuan kesayangannya, dan dia mintak kalu tak sudi terima cinta dia,katakan saja,tak perlu la dia tunggu lama-lama sebab banyak lagi kerja yang mak dia suruh buat. ~kau lontar cintaku ditepian~~ Ku bagaikan hanyut dilautan~~. Oh,memang aku hanyut....


4.Hanya Nyanyian Dalam Sepi-Chriss Vadham
Untuk pengetahuan semua,lagu ini sudah lama diterbitkan,kalau tak silap aku sekitar tahun 90-an. Mengapa masih mendapat carian popular? Ya,memang aku akui lagu ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Walaupun penyanyinya bukan berbangsa melayu,tapi dia masih mampu membawa lagu ini dengan baik. Lagu ini memberitahu yang lelaki tersebut terpaksa pasrah dengan perpisahan tersebut,dan dia menyuruh kekasihnya mencintai teman barunya dengan sepenuh hati. Gila hebat lelaki tu,kalau lelaki lain pasti dah attack wall fb bekas makwe dia kaw-kaw.tak gentle bukan?


5.Ombak Rindu
Lagu ini boleh dikatakan meletup seperti mana ceritanya juga. Tapi aku nak bersumpah yang aku tak pernah tengok cerita ni walaupun didesak banyak kali.ok,puas hati? Gabungan Hafiz dan Adira menyebabkan lagu ini amat mendayu-dayu,lebih-lebih lagi mereka yang dah terseksa jiwanya akibat ditinggalakan. Walaupun lagu ni ada dalam telefon bimbit aku,tak bermakna aku ni tengah kecewa.tapi dengar jugak la time-time sepi gitu. Tapi aku tak sangka pulak si Hafiz tu syok kat Adira,sebab aku dapat tahu yang si Adira tu tak normal,minat kat kaum sejenis. Mintak maaf ye peminat Adira sekalian.dush !


6.Bila Cinta-Gio
First time aku dengar lagu ni bila ada orang kata kat aku,'Eh,awak ni macam Farid Kamil yang dalam cerita Lagenda Budak Setan tu la'. Ok,aku mengaku aku hensem tapi tak la macam setan.tapi Que Haidar memang setan sebab sanggup pukul Lisa Surihani yang bapak cun tu.kau tunggu Que,nanti Yusry bawak lanun tibai kau. Pasti anda juga sudah familiar dengan lagu ini bukan? Walaupun lebih ramai perempuan yang menjadikan lagu ini sebagai siulan mereka ketika mandi,tapi aku tahu ramai jugak lelaki yang post lagu ni kat wall fesbuk ex korang.kau nak mengaku ke tak nak?


7.Lonely-Akon
Ketinggalan? oh tidak,walaupun lagu ini menjadi pilihan ketika korang pergi berkaraoke,tak semestinya korang ni ketinggalan. Lagu ini memang dah lama,diterbitkan sekitar tahun 2005,tapi masih aku boleh hafal. Pasti tak percaya bukan? Tapi itulah akan berlaku bila anda kecewa,mampu melakukan sesuatu yang memang tak disangka-sangka.eh,aku pernah kecewa ke? Berdosa kau bila kecewa hafal lagu si kafir ni tapi ayat hafazan sekolah menengah kau tak nak hafal. 

8.Teenage Dream-Katy Perry
Eh,tersalah. Mintak maaf para pembaca...aku nak bagitahu kat korang yang Katy Perry tu comel je,salah ke?

9.Terima Kasih Tuhan-Mawaddah
Haram kau bila putus cinta dengan makhluk melalak-lalak macam anjing nak mengawan,tapi kau tak pernah amik tahu bagaimana status 'relationship' korang dengan Tuhan. Nah aku bagi lagu ni,konfem korang menangis,tu pun kalau ingat mati.
       

        Bagaimana semua? Puas hati kah dengan kajian aku ini? Oh aku tahu masih banyak lagu yang aku tidak masukkan ke dalam senarai di atas. Jangan marah,aku hanya nak korang turut serta berkongsi lagu pilihan korang dengan aku. Baiklah,layan la dulu lagu-lagu di atas,jangan pulak korang serang pesbuk aku sebab aku tak masukkan lagu kegemaran korang.bukannya apa,banyak hati pihak yang perlu aku jaga.tak gitu Na'di?hehe.

Selamat bercuti dan semoga maju jaya dalam percintaan masing-masing.....

Friday 2 March 2012

Bahasa Baru.

        Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Pasti anda semua merindui diri ini dan menanti-nantikan pekembangan blog ini. Almaklumlah seminggu sekali je keluar cerita baru. Oh,ayat di atas tu aku hanya tujukan kepada gadis-gadis kerana aku ni lelaki sejati yang pasti. Tapi aku tak yakin perempuan sekarang sukakan lelaki yang hanya pandai menulis, tapi tak pandai bermain bola sepak. Biasalah,pemain bola sekarang ni muda-muda dan kaya raya,wajah pun lebih tampan dari joker. Maaf,beremosi sedikit. Tipu la kalau aku bagitahu yang aku tak dengki tengok Faiz Nazmi Mansor berlari-lari di tengah padang sambil perempuan-perempuan yang memakai tudung Shawl dan Anna Tajima bertepik melolong bagai diserang sawan memberikan sokongan dan ada yang mencipta group di fesbuk seperti 'Kami suka Faiz sebab muka dia macam budak' atau 'Kami kesian kat Faiz Nazmi sebab makwe dia huduh dan perasan glamour'.

        Berbalik kita kepada tajuk di atas,seperti berbaliknya kuih Apam Balik yang diterbalikkan kerana telah masak dan rangup,kita akan meninjau sedikit perubahan bahasa pada dewasa ini. Aku pasti korang pun tak paham apa yang aku mengarut ni. Tapi korang jangan bimbang akan sesat atau didakwa mengutuk bahasa kebangsaan kerana aku adalah antara pelajar yang memperolehi A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu masa SPM dulu,jadi setiap penggunaan bahasa adalah bertapis walaupun ketika mengkeji.

        Oleh kerana aku sering menyetalker fesbuk perempuan-perempuan yang suka mengutuk 'profile picture' kawan mereka yang dikatakan kuno kerana tak mendedahkan betis,serta blog 'gadis-gadis baru nak naik',macam yang kawan aku, si Aleena tu bagitahu...aku telah mengesan beberapa kewujudan bahasa baru yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Di bawah aku menyenaraikan beberapa jenis bahasa yang sempat aku rekodkan. Ayuh kita kaji bersama..

1. Sayasayangawakketatketat.
Terjemahan: Saya sayang awak ketat-ketat.

        Apaperasaanandaapabilamembacaayatini? Ye,aku pasti korang juga rasa nak bagi penyepak Tony Jaa kat aku sebab tulis begitu. First time aku membaca ayat seperti di atas,aku mengambil masa selama dua hari untuk menterjemahkannya sambil mulut aku mencarut-carut mengkeji si penulis. Faktor utama berlakunya perkara ini mengikut kajian aku ialah keyboard mereka telah kehilangan 'space bar button'. Atau juga mereka cuba menguji otak dan mata pembaca-pembaca. Walaupun anda bersetuju dengan kesan ujian bahasa ini yang boleh membuatkan anda dapat mencari kutu di celahan rambut,tapi bagi aku dia cuba menguji kesan pelempang aku yang boleh meninggalkan kesan seperti blusher di pipi.

2. Sayerw tark shukew awark wark camniew.
Terjemahan: Saya tak suka awak buat macam ni..

        Aku yakin kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran Malaysia melihat penggunaan bahasa ini dalam kalangan pelajar,pasti beliau meletak jawatan kerana terlalu sedih. Well,melayu merupakan bangsa yang maju dari pelbagai aspek termasuk bahasanya sehingga aku yang masih teruna dan kekampungan ni meroyan ketika cuba memahami bahasa ini. Mungkin mereka malu kerana tidak mengikuti trend masa kini yang memerlukan kita mengubah ejaan perkataan tersebut tapi sebutannya masih sama. Mereka memang kreatif dalam bab menjahanamkan bahasa ni.mintak maaf terlebih mengkeji.. Kalau aku dapat berubah jadi joker,aku culik budak ni,buat eksperimen tukar dia jadi kelawar yang boleh berkata-kata,baru dia tahu nikmatnya boleh bercakap macam orang.
Bahasa budak hot.

3.HeBat kAu bOLeH BuAt mAcAm tU !i!
Terjemahan: Hebat kau boleh buat macam tu !!

        Mungkin pembaca sudah terbiasa dengan bahasa ini sehingga terikut-ikut menggunakannya. Aku sangat memuji kerajinan mereka menekan 'shift button' selang setiap huruf dan aku tahu kerajinan ini adalah semulajadi,bukannya disuruh ibu mereka atau dipaksa kawan-kawan mereka yang malu dengan gaya 'nerd' walaupun ketika menulis. Namun,kerajinan ini tidak mampu dipraktikkan dalam kehidupan seharian seperti menyiram pokok setiap pagi dan petang,menyiapkan assignment dalam masa yang ditetapkan dan membalas SMS buah hati.eh Alah,aku memang dah biasa dengan bahasa ni sampai kadang-kadang masa membaca tu,mata kanan aku jadi besar,mata kiri aku jadi kecik dan sebaliknya.tapi aku tak nak terikut-ikut dengan gaya bahasa ni,takut dituduh merasuah pemeriksa masa SPM dulu.

        Demikianlah sedikit sebanyak info yang aku perolehi dalam penciptaan gaya bahasa baru ni yang boleh aku kongsikan bersama. Sumpah aku tak reka sebab memang itu yang aku alami saban hari. Kalau korang menafikan kewujudan bahasa ini,aku syak korang antara salah sorang yang menggunakan bahasa moden nak arwah ni.hehe Bagi penyelamat-penyelamat bahasa macam aku ni,jangan dipulaukan mereka,mereka hanya kurang kasih sayang.cukuplah dengan hanya menge'likes' status mereka di fesbuk,mereka akan gembira.


Selamat Berhujung Minggu dan gunakanlah bahasa ibunda dengan baik...